BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, January 22, 2010

Tumpasnya Seorang Pengedar

Semalam, 21 Januari 2009. Aku ditugaskan untuk membuat rondaan di kawasan letak kereta di sekitar Selangor. Aku difahamkan kawasan itu merupakan kawasan penyeludupan dadah, dan pihak kami telah lama membuat pantauan dan menyiasat kes tersebut. Namun, sepanjang penyiasatan kami, pihak kami masih belum mendapat sebarang bukti untuk mengambil tindakan.

Walau bagaimanapun, pencarian kami selama ini membuahkan hasil yang amat memberangsangkan. Pada jam 22:45 sewaktu membuat rondaan di kawasan tersebut, tiba-tiba aku terdengar bunyi seperti orang berbincang secara berbisik-bisik di atas tangga di dalam kawasan parking tersebut. Suasana tersebut menimbulkan kecurigaan kepadaku memandangkan tempat tersebut adalah kawasan hitam bagi pengedaran dadah. Memandangkan aku bertugas secara perseorangan pada malam itu, aku mengambil inisiatif untuk mengintip perbualan mereka sebelum menghubungi ahli kumpulanku yang lain.


Gerak geri mereka betul-betul mencurigakan aku, namun aku masih belum pasti apa yang mereka lakukan. Namun aku yakin mereka terlibat dalam kes yang sedang disiasat oleh pihak kami. Mereka terdiri dari tiga orang anak muda yang berdiri saling berhadapan di antara satu sama lain. Memandangkan aku tidak boleh mengambil tindakan seorang diri, aku menghubungi ahli kumpulanku untuk bertindak. Lebih kurang 10 minit menunggu, ahli kumpulanku yang lain sampai, dan kami mengepung kawasan tersebut. Namun, mereka menyedari kehadiran kami dan melarikan diri.




Selepas berlaku sedikit pergelutan dan kejar mengejar, pihak kami hanya berjaya memberkas salah seorang daripada mereka. Namun begitu kami tetap berpuas hati kerana setelah membuat pemeriksaan, kami menjumpai sebungkus dadah yang dipercayai heroin diselitkan di dalam kotak rokok. Dengan berjayanya menangkap salah seorang daripada mereka, ia akan mampu menjadi umpan untuk menumpaskan kumpulan mereka.

Aku betul-betul berpuas hati, tak sia-sia rondaan kami pada malam tadi. Walaupun tindakan kami bakal mengundang bahaya, namun demi tugas yang kupikul, langsung aku tidak teringat nyawaku yang bakal melayang andaikata sedikit kesilapan yang kulakukan.