BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, January 31, 2010

Karena Cinta



Ku Masih Setia
Mengapakah aku dilukai
Adakah aku bersalah
Mengharap kasih sayangmu
Terhadap diriku
Walaupun dikau tiada
Aku masih setia
Mengharapkan dikau kembali
Di dalam pelayaran hidupku ini
Dengarkanlah sayangku
Suara hatiku ini
Walau musnah langit seribu

Adakah kau mengerti
Aku yang merana tiada siapa peduli
Ku hanya berdoa
Semoga cinta ini
Bersinar kembali

Aku tak berdaya menghalang kau pergi
Ku tetap menanti
Semoga terbuka pintu hatimu
Untuk menerimaku

Madah Kehidupan

Madah Kehidupan


Aku tidak pandai untuk bermadah...
Apatah lagi untuk berpantun..
Jauh sekali untuk berpuisi..

Aku hanya ingin mencoretkan secebis kisah hidupku..
Dengan caraku sendiri..
Perjalanan hidupku dipenuhi onak duri..
Aku ingin sekali berkongsi suka duka bersama kalian..
Aku ingin menulis.. berbicara..
Supaya aku dapat menceritakan apa2 yang telah kulihat dan kudengar..
Sepanjang perjalanan hidupku.

Barangkali mungkin ada yang kurang senang dengan coretanku ini..
Namun, aku tak pernah kisah..
Itu semua adalah adat kehidupan manusia..
Mempunyai pelbagai kerenah..
Tak pernah senang dengan kehidupan orang lain.


Ada yang suka..
Ada yang benci..

Memang..
Semenjak wujudnya dunia internet..
Sesiapapun bebas untuk membuat luahan..
Semua orang berhak untuk menulis apapun yang mereka fikirkan..
Masing2 dapat meluahkan isihati..
dan pandangan masing2 tentang apa2 pun didalam kehidupan ini.

Betapa indahnya dunia sekarang..
Semua orang dapat kebebasan untuk menulis dialam cyber..
Menulis tanpa sebarang sekatan..
Betapa indahnya dapat merakamkan getaran perasaan hati dengan menulis..

DAN....
Kerana itulah aku pun menulis!
Cuba menulis tentang bermacam2 perkara yang telah berlaku...!
Walaupun....barangkali ia hanyalah sebuah fantasi khayalan ku!

Saturday, January 30, 2010

Senjata

                                                                   
COLT M16

Colt M16 adalah raifal tempur yang dikeluarkan oleh firma Colt Firearms, Amerika Syarikat yang menggunakan peluru berkaliber 5.56 x 45 mm NATO bagi menggantikan raifal M-14 yang digunakan sebelumnya. Raifal ini digunakan sebagai senjata tempur utama oleh infantri Amerika pada tahun 1967. M16 juga turut digunakan oleh 15 negara NATO dan lain-lain negara kecuali Russia dan negara-negara blok komunis.                           
M16 merupakan raifal tempur yang ringan, menggunakan peluru berkaliber 5.56 mm, menggunakan sistem penyejukan udara atau air-cooled, beroperasi dengan sistem gas, menggunakan kelopak berkapasiti 30 butir, dan menggunakan bolt berputar. M16 ini diperbuat daripada logam yang terkenal iaitu Krom Molibdenumvanadium, alumunium, dan plastik polimer.

 M16 SNIPER

Terdapat lima versi utama bagi senjata M16, yang terdiri daripada M16, yang kemudiannya diikuti oleh M16A1, yang menggunakan peluru M193/M196. M16 versi ini boleh menembak dengan tembakan separa automatik ataupun semburan sepenuhnya. Versi kedua adalah M16A2, yang diperkenalkan disekitar tahun 1980. M16A2 menggunakan peluru M855/M856 yang direkabentuk oleh Belgium (dan kemudiannya dijadikan peluru standard 5.56 x 45 mm NATO). M16A2 mampu menembak separa automatik dan semburan tiga butir. Versi ketiga ialah M16A3 yang menggunakan sistem tembakan utama yang ada pada M16 dan M16A1. Dan versi terakhir sekali ialah M16A4, yang menjadi raifal utama Marin Amerika semasa kempen memerangi Iraq, bagi menggantikan M16A2.


 
M16

Versi asal raifal M16: pengadang cahaya bentuk muncung sangkar, pengadang segi-tiga, dan tidak mempunyai bantuan hadapan dan loyang lencongan.Versi asal yang digunakan oleh Tentera Udara Amerika. Ia penggunaan pertama M16 dalam pengoperasiannya. Versi ini mempunyai pengadang tangan bentuk segi-tiga, penghadang cahaya bentuk tiga serampang, dan tiada bantuan hadapan. Alat bolt diperbuat daripada kepingan krom dan bahagian permukaan hadapan yang licin, tidak mempunyai banyak takik untuk bantuan hadapan. Tentera udara menggunakan dengan mengawal fungsi senjata dan mempertingkatkannya.
                                                          

Friday, January 29, 2010

Untukmu Segalanya



 Biarku bawa rindu dan sendu yang luka ke dalam dada. Akanku simpan segala perasaan kasih sayangku di dalam sanubariku bahawa aku amat menyanyangi dirimu walaupun perasaanmu masih diawang awangan .Andai kata aku pergi dahulu, simpananlah kenanganku ini di dalam sanubarimu. Tidak ada apa-apa yang dapat kutinggalkan untukmu hanya blog ini sebagai kenangan. Amatilah apa yang aku tulis selama ini. Aku sentiasa berdoa agar hatimu dapat menerimaku dalam hidupmu.

Takdir menentukan segalanya. Setiap malam setiap detik aku tidak pernah melupakanmu walau aku jauh dari sisimu. Apabila aku merinduimu aku menghantar pesanan ringkas di telepon bimbitmu. Walau pun engkau jarang sekali membalasnya namun aku tetap menghantar setiap hari. Hanya itulah yang mampu  ku lakukan setiap hari untuk memberitahu betapa hatiku menyayangimu. Perasaanku semakin hari semakin membuak ingin hidup bersamamu. Impianku ingin menjagamu sehingga ke akhir hayatku. Akanku beri segala kasih sayang padamu. Engkau pernah berkata padaku yang engkau sudah mula menyayangiku namun hatimu masih dibayangi kenangan dulu. Engkau masih belum dapat menerima insan lain hadir di dalam hidupmu. Hatimu bukan padamu, tetapi pada insan lain.

Engkau masih tidak memberi ruang untuk aku menyanyangi dirimu. Engkau menutupi hatimu sekemas-kemasnya untukku.. Hatimu terlalu keras untuk menerima cintaku..Apa yang aku luahkan engkau anggap aku macam orang lain, setiap kata-kataku kau samakan dengan buah hatimu dahulu.. Hatimu masih belum menerimaku. Adakah aku tidak setanding dengannya. Salahkah aku untuk menyintai dirimu. Aku akui memang aku ada banyak kelemahannya. Aku tidak sealimnya. Aku tidak memenuhi ciri-ciri yang engkau dambakan.. Aku tidak pandai dalam teknologi sekarang tapi aku cuba mempelajari sikit demi sedikit tentang itu. Aku juga tidak tegas dan cepat simpati kepada orang, Itulah sebab utama aku sering dipermainkan .

Aku memerlukanmu untuk memberiku semangat.. Aku tahu kau boleh merubahku.. semenjak kita kenal, kau selalu menasihatiku dan kata-katamu begitu memberiku kekuatan untukku meneruskan perjalananku. Berilah aku peluang untuk memiliki hatimu.. Namun aku manusia biasa aku tidak boleh memaksa dirimu untuk menyayangiku sekiranya hatimu masih belum memberi peluang untukku. Hanya Allah yang tahu isi hatimu. Biarlah aku menunggu jawapan dari mulutmu tidak kira sebulan, setahun, dua tahun.. aku tetap  akan menunggu jawapanmu. Andai kata engkau tetap tidak menerimaku biarlah blog ini jadi  saksi cintaku padamu. Akanku tulis rintihan kisah hidupku sehingga ke ahkir hayatku.

Thursday, January 28, 2010

Kenanganku

Gambar kenangan semasa tamat latihan.

Teringat semasa aku habis tamat latihan amat bermakna bagiku. Aku yang bertungkus lumus akhirnya aku berjaya menamatkan latihanku di pusat latihan. Walau banyak rintangan yang aku lalui dengan panas terik di padang kawad dan maki hamun aku tabahkan jua walau perit rasanya. Kini aku telah menjadi seorang anggota polis. Banyak cabaran yang aku lalui. Tapi ini tidak bermakna aku patah semangat, aku teruskan kerjayaku. Teringat aku semasa di pusat latihan..seorang jurulatih kawad yang sangat kami tidak suka dengan caranya. Yang paling aku benci hentak kaki tanpa berhenti,rasa nak tercabut kakiku. Dalam hati ku bila dia nak berhenti ni....bisikan hatiku. Dalam hati hanya tuhan je yang tahu.


                                        
Kenangan bergambar dengan OCPD Subang Jaya.

Gambar ini di ambil semasa perjumpaan dengan OCPD Subang Jaya. Semuanya kawan-kawanku semasa bertugas di Daerah Subang Jaya. Aku nampak kurus masa tu. Nampak kecil sekali aku di dalam barisan tu. Itulah aku berbadan kecil. Semuanya kenanganku dalam hidupku akan kukenang sampai bila-bila.

  
                                      
Pistol .38

Ini adalah pistol jenis Revolver .38 berukuran empat inci. Inilah senjata yang aku bawa semasa bertugas. Dengan beralaskan enam butir peluru di dalamnya di samping dua empat butir peluru aku selitkan di pinggangku. Memang berat rasanya bila ku bawa.Teringat semasa aku mula-mula pegang senjata, mengigil  tanganku apabila kupegang maklumlah dalam hidup aku tidak pernah pegang senjata. Tapi sekarang sudah menjadi kebiasaan dalam hidup ku. Pistol ini juga pernah ku cuba letak di kepalaku disebabkan aku tertekan, mujurlah kawanku cepat-cepat merampasnya dariku. Tidak dapat aku lupakan...Ini lah kenanganku yang dapat aku ceritakan.

Tuesday, January 26, 2010

Luahan Hati Untukmu




Ingin ku sampaikan luahan hati ku ini. Andai engkau dapat mengerti isi hatiku bahawa aku tetap menunggu jawapan dari hatimu yang suci itu. Aku tahu siapa diri ku yang sebenar, aku tidak dapat setanding dengan orang yang pernah engkau sayang dahulu, tapi percayalah....hati ku ikhlas dan menyayangi dirimu sepenuh jiwa raga ku. Aku tidak memandang paras rupa dan aku tidak pernah kisah siapakah dirimu. Hati ku suci menerima mu dalam hati sanubari ku.. Mungkin engkau  payah untuk memahami dan mempercayai kata-kata ku ini..

Aku tau engkau pernah dilukai oleh orang yang pernah engkau sayangi dahulu, engkau takut peristiwa itu akan berulang kembali untuk kali ke dua.. Bukan engkau seorang pernah rasa di kecewakan, aku pun pernah kecewa waktu ketika dahulu.. Kekecewaan itu amat perit sekali malah aku hampir membunuh diri...

Tetapi apabila aku mengungkapkan kata-kata ku itu,engkau masih trauma malah engkau mengatakan lelaki semuanya sama.. pandai bermain kata-kata.. Adakah itu benar? Bagiku tidak semua lelaki  seperti apa yang engkau fikirkan.. Semuanya bergantung kepada pangkal hati kita, keikhlasan hati kita untuk menyanyangi seseorang.

Berilah aku peluang untuk menyayangi diri mu.... Memang aku bukan seorang yang romantik seperti orang lain, memberi bunga pada kekasihnya.. Aku adalah aku dengan cara ku sendiri.. bukan kepura-puraan. Memang cinta itu indah bagi ku, tapi bila kecewa hanya tuhan yang tahu. Tapi aku tidak berputus asa dan masih mencari dalam hidup ku ini.. Aku harap engkau mengerti isi hati ku ini..berilah peluang untuk ku mencintai mu dan menyayangi diri mu..Seandainya engkau tidak dapat menerima diri ku ini , aku redha mungkin tuhan belum menemui apa yang ku cari selama ini..

Mungkin aku membawa diri ku tak tau entah ke mana..Aku berdoa semoga hati mu terbuka untuk ku dan iklhas menerima ku dalam hidup mu...Akan ku jaga dirimu dan hati mu supaya tidak terluka lagi..Aku masih ingat kata-kata mu...JAGALAH HATI MASING-MASING....Aku akan tunggu jawapan dari mu,hati ku tidak akan berubah walau engkau cuba menyuruh aku mencari wanita lain.Aku tetap menanti sebagai mana aku pernah menanti ketika dahulu....


Ihklas dari hati sanubari ku,
Neo

Sunday, January 24, 2010

Cintaku


Aku pernah bercinta ketika dahulu. Kisah cintaku bermula masa aku darjah 6, aku tidak pernah mengetahui  makna sebenar cinta waktu itu, aku menganggap kami hanyalah sekadar kawan. Ada ketika dahulu ada seorang  pelajar perempuan di kelasku meminatiku tetapi aku tidak pernah mengendahkannya dan pada masa yang sama ada seorang pelajar perempuan yang baru berpindah ke sekolahku. Aku hanya memerhatikan dia dari jauh sahaja.

Masih aku ingat lagi pelajar perempuan yang meminatiku menghantar surat  amaran supaya aku memilihnya dan jangan menghiraukan pelajar baru tersebut. Apabila diingat balik, memang kelakar. Masa itu aku tidak memikirkan apa-apa pun fasal budak baru tu tetapi memandangkan aku taknak melayan kerenah pelajar yang meminatiku itu, aku mendekati pelajar baru tersebut.

Begitulah bermulanya kisah percintaanku. Aku berkawan dengannya dari darjah  enam sampailah dia berjaya melanjutkan pelajaran ke UITM cawangan Segamat, Johor. Dari sekolah rendah, sekolah menengah sehinggalah die ke universiti, aku tidak pernah menduakannya.. cintaku hanyalah padanya. Hatiku tertutup untuk orang lain, di hatiku hanyalah ada dia. Waktu itu, bukan tiada orang lain yang cantik, namun apabila hati dah sayang.. orang lain langsung tak pandang..

Dia merupakan pelajar yang pendiam dan menghidap penyakit leukimia. Aku tidak kisah semua itu yang penting aku ikhlas dan memberi semangat untuknya. Dia mengidap penyakit tersebut sewaktu tingkatan tiga. Aku masih ingat sewaktu dia dimasukkan ke hospital dan dirawat selama tiga bulan di hospital. Waktu itu peperiksaan SRP baru nak bermula dan dia terpaksa mengambil peperiksaan SRP seorang diri di hospital.

Pada waktu itu aku tidak dapat melawatnya memandangkan dia tak mahu jumpa sesiapa. Walaupun ku tahu dia sakit namun aku tetap menunggu dan berdoa semoga dia sihat seperti sediakala.. Dan Alhamdulillah dia pulih dan dapat kembali ke sekolah. Waktu itu aku tak tau apa itu erti cinta tetapi hati aku berdebar2 apabila aku bersua dengannya. Aku tertanya-tanya adakah aku sudah jatuh cinta padanya. Ahh mungkin juga.

Sampailah ke tingkatan lima aku masih berkawan dengannya. Walau pada masa itu kami jarang bercakap , kami hanya saling memberi dan membalas senyuman apabila bertembung. Pada waktu itu perasaan maluku membuak-buak tetapi dalam waktu yang sama aku teringin sekali berjumpa dan kadang-kadang sengaja buat-buat bertembung dengannya semata-mata untuk berbalas senyuman. Apabila tiba peperiksaan SPM dan keputusan diumumkan, dia berjaya menyambung belajar ke universiti dan aku terus mencari pekerjaan. Kami membawa haluan masing-masing.

Walaupun kami dah berjauhan dan tak pernah jumpa waktu itu tapi kami tetap berhubung melalui surat. Masa terlalu cepat berlalu, dia telahpun habis belajar dan telah berjaya mendapat pekerjaan di  Shah Alam. Aku  pernah terserempak dengannya beberapa kali. Dia dah banyak berubah. Pada waktu itu, dia masih lagi bergantung pada ubat-ubatnya, kadang-kadang aku menemaninya ke klinik untuk mengambil ubat.



Walau kami berkawan lama dan telah mengenali hati budi masing-masing namun, ia tidaklah seperti yang aku fikirkan. Selama ini aku hanyalah bertepuk sebelah tangan.. Suatu hari aku cuba melamar dia untuk menjadi teman hidupku tetapi jawapan yang diberi amat mengecewakan hatiku. Aku hanya mendengar pelbagai alasan yang keluar dari mulutnya untuk menolak lamaranku.. Hanya Tuhan yang tahu betapa hancur luluhnya hatiku disaat itu. Orang yang aku betul-betul sayang dan cinta setulus hati akhirnya menghancurkan hatiku. Aku tidak mempu berkata apa-apa, aku hanya mampu mendiamkan diri menahan sebak di dada. Selama ini aku betul-betul menjaga hatinya, sanggup melakukan apa sahaja untuknya, namun pengorbananku hanya sia-sia sahaja.

Mungkin tiada jodoh antara kami.. walau aku menangis air mata darah sekalipun aku tidak mampu memiliki hatinya. Aku betul-betul kecewa dengannya. Aku sedar siapa diri ku, aku bukanlah seorang yang berpelajaran tinggi jika dibandingkan dengannya, aku hanyalah seekor pipit. Sejak dari itu, aku membawa diriku jauh dari hidupnya. Aku berdoa semoga dia bahagia dengan kehidupannya.

Kehilangannya dalam hidupku membuatku betul-betul buntu. Aku kehilangan arah hidup. Cahay hidupku telah suram, aku tidak nampak dimana hala tuju hidupku seterusnya. Aku banyak menghabiskan waktu merenungi nasibku seterusnya. Aku mengasingkan diri dari kawan-kawan, aku banyak menghabiskan masaku di tepi pantai seorang diri menangisi nasibku. Hatiku hancur berkecai tak pernah dia fikirkan. Inilah manusia, sewaktu susah, kitalah teman, kitalah tempat untuk mengadu. Tetapi apabila hidup sudah berubah, kita dipinggirkan. Adakah ini namanya cinta? Sampai sekarang aku belum memahami erti cinta sebenar di dalam hidupku.


Saturday, January 23, 2010

KIsah Penderitaan Seorang Kawan



Kisah ini menceritakan seorang insan yang melihat penderitaan seorang ibunya yang disayanginya. Penderitaan ibunya tak siapa yang tau. Apa yang saya dapat tahu dari ceritanya, ayahnya seorang panas baran  dan ibunya menjadi sasaran. Dia masih terbayang-bayang penderitaan ibunya. Kesengsaraan ibunya menjadi igauan dalam hidupnya. Keinginannya untuk mendapat keluarga bahagia tidak kesampaian. Kesengsaraan ibunya menjadi igauan ngeri dalam hidupnya. Ayahnya telah mengahwini perempuan lain. Tinggallah dia bersama ibunya. Susah senang mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya pada ibunya. Tetapi kasih anak kepada ayahnya masih terpahat di hatinya walau dia tahu ayahnya telah memperlakukan ibunya seperti itu. Apakah dosa mereka sehinggakan anak yang menjadi mangsa.

Apabila aku mendengar ceritanya aku pula terasa sebak. Apakah hikmah di sebalik semua ini.? Di manakah letaknya nilai perikemanusiaan? Adakah ini satu dugaan bagi mereka sekeluarga. Ya Allah tabahkan hati  hambaMu itu.. berikanlah semangat semoga dia tabah menempuhi segala dugaan yang Engkau berikan. Berilah petunjuk padanya. Tabahkan hati ibunya, semoga mereka sekeluarga kuat  menjalani liku-liku kehidupan.




Aku bersyukur mendapat ayah yang bertanggung jawab ke atas keluarganya. Tapi sayang, aku hanya dapat kasih sayang untuk sementara. Dan aku telah kehilangan sekali lagi orang yang  amat aku sayang..ibuku yang telah melahirkan aku ke dunia ini...Semoga  rohmu dicucuri rahmat.. Aku sentiasa mendoakanmu di sana.. aku sentiasa merinduimu ibu.. ayah..

Sahabat Yang Sejati

Teman atau sahabat..
Apakah ertinya????



Aku mempunyai seorang sahabat. Segala masalah aku cerita padanya. Persahabatan kita selama 5 tahun tidak pernah aku lupakan.. Bila aku ditimpa kesusahan engkau banyak membantu ku. Aku tidak pernah menjumpai sahabat sebaikmu.. Kita terlalu akrab sehingga kau sanggup berkorban semata-mata untuk membantuku jika aku menghadapi masalah. Engkau tidak pernah jemu memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada ku. Kita tetap bersama di ketika senang mahupun susah.. bergelak ketawa bersama..menangis pun bersama.

Walaupun aku terlalu banyak menyimpan rahsia, namun engkau begitu memahami diriku. Memang susah mendapat sahabat seperti kamu. Kita seperti adik beradik. Tapi sekarang engkau banyak berubah, tidak seperti dahulu. Gurauan yang kadang-kadang menyakitkan, aku tidak pernah menyimpannya dalam hati ku. Aku tau itu hanya gurauan dari kamu. Engkau telah banyak mengajar aku erti kehidupan. Kehidupan yang aku lalui selama ini banyak dugaan dan cabaran. Kadang-kadang aku tidak mampu meneruskan lagi kehidupan ku ini. Sekarang aku tinggal seorang tiada tempat untuk aku mengadu masalah aku. Engkau sudah tidak menghiraukan aku lagi..Di mana kah aku hendak meluahkan segala masalah ku?

Friday, January 22, 2010

Tumpasnya Seorang Pengedar

Semalam, 21 Januari 2009. Aku ditugaskan untuk membuat rondaan di kawasan letak kereta di sekitar Selangor. Aku difahamkan kawasan itu merupakan kawasan penyeludupan dadah, dan pihak kami telah lama membuat pantauan dan menyiasat kes tersebut. Namun, sepanjang penyiasatan kami, pihak kami masih belum mendapat sebarang bukti untuk mengambil tindakan.

Walau bagaimanapun, pencarian kami selama ini membuahkan hasil yang amat memberangsangkan. Pada jam 22:45 sewaktu membuat rondaan di kawasan tersebut, tiba-tiba aku terdengar bunyi seperti orang berbincang secara berbisik-bisik di atas tangga di dalam kawasan parking tersebut. Suasana tersebut menimbulkan kecurigaan kepadaku memandangkan tempat tersebut adalah kawasan hitam bagi pengedaran dadah. Memandangkan aku bertugas secara perseorangan pada malam itu, aku mengambil inisiatif untuk mengintip perbualan mereka sebelum menghubungi ahli kumpulanku yang lain.


Gerak geri mereka betul-betul mencurigakan aku, namun aku masih belum pasti apa yang mereka lakukan. Namun aku yakin mereka terlibat dalam kes yang sedang disiasat oleh pihak kami. Mereka terdiri dari tiga orang anak muda yang berdiri saling berhadapan di antara satu sama lain. Memandangkan aku tidak boleh mengambil tindakan seorang diri, aku menghubungi ahli kumpulanku untuk bertindak. Lebih kurang 10 minit menunggu, ahli kumpulanku yang lain sampai, dan kami mengepung kawasan tersebut. Namun, mereka menyedari kehadiran kami dan melarikan diri.




Selepas berlaku sedikit pergelutan dan kejar mengejar, pihak kami hanya berjaya memberkas salah seorang daripada mereka. Namun begitu kami tetap berpuas hati kerana setelah membuat pemeriksaan, kami menjumpai sebungkus dadah yang dipercayai heroin diselitkan di dalam kotak rokok. Dengan berjayanya menangkap salah seorang daripada mereka, ia akan mampu menjadi umpan untuk menumpaskan kumpulan mereka.

Aku betul-betul berpuas hati, tak sia-sia rondaan kami pada malam tadi. Walaupun tindakan kami bakal mengundang bahaya, namun demi tugas yang kupikul, langsung aku tidak teringat nyawaku yang bakal melayang andaikata sedikit kesilapan yang kulakukan.

Thursday, January 21, 2010

Kawan Yang Amat Kurindu


Aku mempunyai seorang kawan karib. Kami belajar di dalam kelas yang sama. Dari sekolah rendah sampailah ke sekolah menengah. Kami tak pernah berenggang, ke mana Aku pergi, di situlah dia berada. Ahmad Nazri, namanya masih terpahat kukuh di kepalaku. Kami satu kampung dan rumahnya tak jauh dari rumah ku, cuma rumahnya di tepi jalan raya dan rumahku masuk ke dalam kampung. Setiap petang aku selalu singgah ke rumahnya sama ada untuk membuat kerja sekolah atau berborak2 kosong. Dia seorang yang kelakar, aku tergolek-golek gelak melihat gelagatnya. Kalau pergi sekolah aku selalu tumpang dia.. sambil mengayuh basikal, dia akan menyanyi. ada je lagu dia nyanyi sampai lagu hindustan pun dia hafal. Kami tak pernah bergaduh, malah saling membantu.

Tapi satu je sifatnya yang aku kurang suka. Dia jarang datang rumah aku, asyik aku je datang rumah dia. Nak main badminton pun kene datang rumah dia. Keluarga dia baik sangat dan suka buat lawak. Pasal awek pula kita orang memang pemalu sikit. Ingat lagi dia minat seseorang, aku pula dijadikan orang tengah. dah lah aku ni pemalu sikit dengan perempuan masa itu, tapi demi kawan aku tolong juga sampaikan surat pada perempuan itu. Dulu main utus2 surat je tak macam sekarang guna handphone.

Emm..weei ana(bukan nama sebenar) ni surat dari nazri...sambil lalu aku bagi dekat dia, di sekolah aku sebagai pengawas, dan ana pun pengawas juga. senanglah aku jumpa dia. Nazri... nazri di mana kau sekarang, kita dah lama tak berjumpa, balik kampung pun susah nak jumpa kau...

Kenangan kita bersama tidak pernah aku lupa.Kalaulah kawan karibku yang rapat sekali. Apa masalah kita, kita kongsi bersama. Berapalah anak kau sekarang nazri.. Kalau berjumpa mesti kita berbual sampai ke pagikan..

Wednesday, January 20, 2010

Cikgu Asma



Inginku ceritakan sedikit kisah cikgu ku ini. Nama cikguku Siti Asma, dia seorang yang tegas bila mengajar tapi dia baik hati. Pelajaran yang dia ajar adalah Bahasa Inggeris. Walaupun dia tegas namun dia begitu mengambil berat tentang anak muridnya. Dia sanggup berkorban masa dan tenaga demi pelajar-pelajarnya. Apabila waktu persekolahan tamat, dia sanggup buat tuisyen di rumahnya tanpa sedikitpun bayaran. Dia sanggup mengajar secara sukarela demi kecemerlangan anak didiknya.

Dia merupakan anak angkat kepada ayah aku. Sebab itu dia selalu manjakan aku. Walaupun dia manjakan aku, namun dia tetap mendenda aku jika aku membuat kesilapan. Dia amat suka makan ikan bawal, kalau dia datang rumahku, ayah akan belikan ikan bawal. Di sekolah dia selalu memelukku dari belakang, kadang-kadang aku rasa rimas dan malu apabila kawan2 lihat.. Itulah Cikgu Asma.. seorang yang peramah dan mudah tersenyum. Aku amat merindui dia.. Aku terbayang-bayang wajahnya.. Aku betul2 merinduinya.

Rupanya selama ini, cikgu menyembunyikan penyakit cikgu. Tiada sapa yang tau. Gelak ketawa Cikgu masih terbayang-bayang di ingatanku. Cikgu menyembunyikan penderitaan cikgu melalui senyuman cikgu, kelincahan cikgu, gelak ketawa cikgu.. Di sebalik keceriaan cikgu, aku tak pernah menyangka cikgu mengidap penyakit kanser. Begitu terseksa kehidupan cikgu. Sekarang, dah lama cikgu pergi meninggalkan kami.. meninggalkan anak didiknya yang masih dahagakan perhatiannya..

Cikgu, walaupun cikgu telah tiada di dunia, namun cikgu tetap tersemat kukuh di sanubariku. Jasa-jasa cikgu tak pernah aku lupakan. Kami sentiasa mendoakan cikgu, semoga cikgu bersemadi dengan aman di sana. Doa-doaku sentiasa menemanimu di sana.

Kenakalanku



Aku teringat masa aku darjah 4. Waktu tu, aku agak nakal. Aku dengan sepupu aku bermain meriam tanah, masa tu bulan puasa (Ramadhan). Dum..Dam..bunyi meriam. Aku seronok pada masa itu, asyik aku bermain tiba-tiba meriam yang aku pasang tak meletup, dalam hati aku berkata mungkin kabat yang aku bubuh dah habis,a ku pun cuba menarik kayu yang berisi kabat, dengan tak disangka tiba-tiba api keluar dari depan berbunyi..blup..aku tak ingat apa-apa dah.. semua benda aku langgar sampai pokok kelapa pun aku langgar.. habis muka aku hitam, tiba-tiba aku rasa tangan aku pedih.. aduh aku menangis menahan sakit.. ingat arwah mak saudara aku yang paling aku rapat dengannya, dia cepat-cepat tengok keadaan aku. separuh tangan aku melecur kene api.. Aduh pedihnya,emak saudara sapukan ubat pada tangan ku.




Pada keesokannya tangan aku dah berair, emak tau lah membebel marah aku, aku diamkan saja mematikan diri.. memang salah aku degil tak dengar cakap orang tua. Emak suruh ayah pergi bawa klinik  tapi ayah tak mau.. biarkan saja kalau degil itulah ubatnya.. kata ayah.. aku diam je. tapi aku tau ayah cakap je macam tu tapi dia tak sampai hati.

Pada pagi keesoknya disekolah masa tu ada peperiksaan. Satu lagi masalah aku kali ini. Macam mana aku nak menulis sedangkan tangan aku dah berbalut  macam orang patah tangan. Emmm aku diam je..tiba-tiba cikgu tanya. Jamal kenapa dengan tangan kamu.. aku terus menjawab main meriam cikgu dengan selamba aku jawab... Aku sayang cikgu ni.. cikgu Asma namanya  walau dia garang suka mencubit tapi aku suka dengannya. Dia tengok tangan aku.. tiba-tiba cikgu berkata pada ku.. jamal jawab biar cikgu tanda... emmm ok juga bisikan hati ku.. aku pun jawablah soalan tapi yang bestnya aku jawab salah cikgu bagi jawapan yang betul.. Kalau nak ingatkan masa dulu lucu sekali. Di sekolah, aku adalah wakil sekolah olahraga larian 100 meter dan 4x100 meter..

Cikgu inilah yang bagi semangat untuk aku..  Cikgu seandainya cikgu ada lagi mungkin cikgu dapat membaca coretan saya ini.. Saya doakan cikgu berada di tempat orang-orang yang beriman semoga cikgu di cucuri rahmat. Amin.. Al-Fatihah...

Tuesday, January 19, 2010

Alam Persekolahanku




Teringat semasa aku di alam persekolahan. Waktu subuh yang dingin, emak telah kejutkan aku, sejuk sunguh pada waktu itu. Aku terpaksa bangun dan mandi..

"Mandi cepat nanti lambat pergi sekolah", teriyang-iyang lagi suara emak menyuruh aku. Aku dengan terkebil-kebil membuka mata, sunguh liat aku nak bangun.. Aku terus mencapai tuala dan menuju ke perigi di luar rumahku. Aduh, sejuknya air ni, bisik hatiku. Aku terus mencedok air dan menjirus ke badanku dalam keadaan sejuk dan mengigil. Selesai mandi aku memakai pakaian seragam sekolah. Semuanya emaklah yang sediakan almaklumlah anak manja. Aku anak keenam dari enam orang adik beradik.

Setelah aku selesai berpakaian, makanan telah tersedia untukku. Dengan bertemankan lampu pelita yang usang aku menyuap sarapan yang terhidang ke mulutku. Masa itu hari masih gelap lagi. Aku makan dengan berselera sekali. Sedap sungguh emakku masak walaupun hanya pisang lenyek. Emakku sentiasa di sebelah menemani aku.

Selesai makan, emak memakaikan kasut untukku. Wah!!! sungguh comel aku waktu itu. Ayah telah menunggu di bawah dengan motor kesayangannya. Aku membonceng di belakang motor ayahku sambil melambai-lambai ke arah emak yang duduk di birai tangga.

Semangatku berkobar-kobar untuk memulakan alam persekolahanku. Wahh! ramai juga budak-budak sebayaku di sekolah. Aku dimasukkan ke dalam kelas yang telah ditetapkan. Hatiku mula berdebar-debar masa tu. Air mata mula mengalir apabila melihat ayah tinggalkan aku. Bukan aku seorang saja yang menangis malah ramai lagi kawan-kawan lain yang menangis lebih teruk daripada aku. Ahh, masih terbayang-bayang lagi masa aku kecil dahulu. Itulah pengalaman aku yang masih aku ingat pada waktu kecil di alam persekolahan.

Serungkai Kata Buat Pembuka



Assalamualaikum sebagai pembuka kata dalam blog ini. Pertama kali aku membuka blogku sendiri, ingin ku sampaikan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada insan yang sudi membina blogku ini. Tiada apa yang dapat aku balaskan jasanya, hanya ucapan terima kasih yang mampu kuberikan.

Blogku yang bernama Tir@j Senj@ ini menceritakan kisah hidup ku menjalani ranting- ranting kehidupan. Ia bagaikan perjalanan hidupku yang penuh dugaan. Inginku kongsi cerita tentang diri ku, aku dilahirkan di sebuah kampung yang amat kekurangan masa dulu. Hidup ku susah. Arwah ayahku berkerja sebagai perkebun kecil, dia mencari rezeki dengan menggunakan tulang empat kerat untuk memelihara keluargaku. Aku masih ingat lagi masa aku kecil, aku selalu mengikut arwah ayahku pergi ke mana saja dan sampai tertidur menemani dia. Kini ayah sudah tiada dan tanggung jawab diambil oleh arwah emak pula. Sekarang semuanya telah pergi untuk selama lamanya...Tinggallah aku sebagai anak Yatim Piatu yang memerlukan kasih sayang dari orang tua.

Inilah kisah hidup aku, semua ini akan aku cerita di dalam blog ku sekiranya aku ada masa lapang. InsyAllah.

                                                       Kenangan bersama keluarga